Ada yang mengatakan bahawa semangat 1 Malaysia sebenarnya sudah lama wujud. Jadi mengapakah semangat ini perlu diperkatakan kembali? Apakah Perdana Menteri kita sudah ketandusan ide lantas kembali kepada ide-ide lapuk?
Benar, saya setuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa semangat 1 Malaysia sebenarnya sudah lama wujud. Kisah-kisah zaman silam saya dahulu adalah terjemahan kepada semangat 1 Malaysia. Semangat ini sudah ada sejak lebih 30 -40 tahun dahulu atau mungkin lebih lama dari itu. Saya masih ingat cerita dari ibu saya di mana pada tahun 40an dahulu bapa saya pernah menyembunyikan rakan karibnya yang berbangsa Cina di rumah kami kerana rakannya itu diburu oleh tentera Jepun. Bayangkan seandainya rahsia penyembunyian itu terbongkar, sudah pasti nyawa bapa saya juga boleh turut melayang. Sesungguhnya semangat setiakawan berbilang kaum sudah lama terjalin.
Akan tetapi semangat 1 Malaysia ini sudah semakin hilang dimakan zaman. Semangat perpaduan kaum yang menyatu-padukan rakyat kini sudah tidak dipedulikan lagi. Malahan masyarakat di negara ini sekarang lebih cenderung kepada perpecahan kaum.
Sekali lagi saya syorkan agar anda ketepikan hujah-hujah politik apabila membicarakan isu 1 Malaysia. Ini adalah kerana hujah hujah itu pasti akan lebih memecah belahkan lagi serpihan perpaduan yang masih tinggal. Di zaman saya iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu juga telah pun ada parti-parti politik yang bertahan sehingga sekarang selain satu atau dua parti yang baru ditubuhkan kebelakangan ini. Namun isu perkauman tidak dijadikan bahan untuk memancing sokongan atau untuk menjadi juara. Parti-parti yang ditubuhkan ketika itu adalah untuk menyatu-padukan kaum dan bukan untuk berseteru dan memecah belahkan mereka. Tidak perlu kita mempertikaikan hujah ini kerana sejarah sudahpun membuktikannya.
Realitinya isu perkauman adalah isu paling genting masakini. Semua pihak mahu bercakap, menjadi ‘hero’, cabar-mencabar, mendabik dada, tuduh-menuduh dan hina-menghina. Para pemimpin menjadi gundah-gulana, tidak tahu lagi siapa kawan siapa lawan, penuh dengan prasangka, penuh muslihat, tertekan dan menekan, penuh dengan kecelaruan. Isu perkauman dijadikan bahan mencari populariti, bahan menerjah lawan, bahan menikam kawan, bahan melepaskan dendam kesumat yang dirasuk syaitan. Sampai bilakah kita perlu bersengketa? Sekiranya isu anti-kaum ini terus dimainkan, tidak mustahil akan berlaku satu bencana yang sukar untuk digambarkan, dan kita akan diperlekehkan oleh generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment