Bersatu kita teguh |
Tidak dapat dinafikan juga bahawa sistem persekolahan rendah dan menengah juga adalah penyumbang kepada perpecahan kaum. Saya tidak menyalahkan sistem persekolahan mengikut kaum kerana zaman saya dahulu pun sistem ini sudah dilaksanakan dan kami tidak pun berpecah. Namun yang mahu saya perkatakan ialah penekanan terhadap matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah. Rata-rata guru di sekolah lebih menumpukan kecermelangan murid dalam matapelajaran-matapelajaran teras sahaja seperti Matematik, Sains, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Matapelajaran-matapelajaran lain seperti Kemahiran Hidup, Sivik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni, Agama dan Moral sering diambil mudah. Malahan ada pihak sekolah mengenepikan terus matapelajaran ini terutamanya terhadap murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Tidakkah mereka terfikir bahawa matapelajaran-matapelajaran yang dipinggirkan itu tidak kurang pentingnya disamping matapelajaran-matapelajaran teras tadi. Malahan bagi saya, matapelajaran seperti Sivik, Kemahiran Hidup, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni, Agama dan Moral tersangat penting untuk dipelajari kerana matapelajaran-matapelajaran ini berperanan memupuk jatidiri dan semangat perpaduan antara kaum yang sudah semakin tidak ada lagi ketika ini. Apa ertinya sekiranya kita berjaya melahirkan generasi yang cemerlang dalam matapelajaran teras tetapi dalam diri anak-anak ini tidak mempunyai nilai-nilai jatidiri dan kemasyarakatan yang utuh. Masyarakat sudah tidak lagi kenal erti ketoleransian dan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Mereka tidak kenal erti bertolak ansur, faham-memahami, bekerjasama dan saling membantu antara kaum. Mereka tidak lagi merasa indah hidup berbilang kaum sebagaimana yang saya dan rakan-rakan saya pernah rasai ketika zaman kami kanak-kanak dahulu.
No comments:
Post a Comment