Tanpa kami sedari, kami dapat mempelajari dan mengenali ugama dan cara hidup rakan-rakan yang berbangsa Cina dan India secara dekat. Kami juga sedikit sebanyak mula memahami bahasa Cina dan India yang dipertuturkan mereka. Ada ketikanya kami beramai-ramai menyanyikan lagu Melayu, Cina dan India.
Adalah tidak benar sekiranya saya mengatakan bahawa tidak pernah berlaku perselisihan faham sesama kami. Zaman kanak-kanak sudah pasti tidak dapat lari dari kenakalan dan perselisihan sesama rakan-rakan. Kadangkala sehingga keperingkat tumbuk menumbuk. Uniknya, perbalahan di zaman kanak-kanak kami tidak pernah menyentuh sensitiviti perkauman.
Bagaimana kami boleh berkawan dengan begitu intim walaupun ada perbezaan warna kulit, budaya dan ugama? Bagi saya, kami sekadar meneruskan perhubungan baik kedua ibubapa saya dan juga ibubapa mereka yang telah terlebih dahulu menjalinkan semangat setiakawan. Bagi kami saat ketibaan Aidil Fitri, Aidil Adha, Tahun Baru Cina dan Deepavali adalah hari keraian kami semua. Ketika Deepavali, saya tidak dapat bayangkan begitu banyaknya kuih-muih yang dihantar ke rumah kami oleh jiran-jiran kami yang berbangsa India. Terlalu banyak, maruku, kueh loyang, ‘masalode’, ‘uteli’, kueh keras yang kami gelar ‘kueh batu’, kueh kacang dan macam-macam lagi. Begitu juga ketika hadirnya Tahun Baru Cina. Apabila tiba hari perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha, rumah kami pula dikunjungi oleh rakan-rakan kami dan rakan-rakan ibubapa kami yang berbangsa Melayu, rakan-rakan yang berbangsa Cina dan India. Kami juga mengambil kesempatan menghantar kueh-mueh ke rumah jiran-jiran terdekat. Hari-hari seperti ini mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sudah sedia terjalin erat.
No comments:
Post a Comment