Pasti ada yang bertanya, mengapa saya menceritakan kisah-kisah lampau yang ramai juga pernah melaluinya? Bagi saya, inilah keindahan sebenar kehidupan di negara ini. Keindahan yang sudah semakin luput ditelan zaman. Walaupun kami berbeza dari segi ugama dan budaya namun kami saling hormat-menghormati budaya dan ugama masing-masing, kami sedar akan batasan perhubungan kami dan kami tidak pernah ada perasaan perasangka antara satu sama lain. Ketika berlaku peristiwa hitam 13 Mei 1969, pertelingkahan antara kaum Cina dan Melayu agak runcing di Lembah Kelang tetapi sebaliknya kami diluar bandar tidak langsung ambil peduli, kami hidup aman damai seperti biasa sahaja kerana kami sudah umpama satu keluarga besar.
Biar saya pula bertanya kepada kalian semua. Bagaimana pulakah kehidupan kanak-kanak di masa ini? Saya pasti ada yang mengeleng-ngelengkan kepala sebelum menjawab soalan saya ini. Pasti juga ada yang berkata, “Malas nak cakap”. Namun pasti juga ada yang bangga dengan cara anak-anak mereka menjalani kehidupan sekarang. Mereka bangga kerana anak-anak mereka celik komputer, berpakaian mewah, bertelefon bimbit, serta menghadap berbagai permainan dan peralatan canggih sehari suntuk di rumah.
Impian utama para ibubapa terhadap anak-anak mereka ialah kejayaan anak-anak mereka mendapat deretan ‘A’ dalam UPSR, PMR dan SPM. Anak-anak mesti patuh dan taat kepada kehendak kedua ibubapa mereka itu. Jika anak-anak gagal mencapai ‘cita-cita’ kedua ibubapa mereka bermakna anak-anak ini boleh menjatuhkan air muka ibubapa mereka.
Aktiviti luaran seperti bersukan sudah tidak penting lagi. Malahan aktiviti bersukan sudahpun dianggap sebagai aktiviti yang membuang masa dan boleh mengganggu prestasi pelajaran anak-anak mereka. Kebebasan pergaulan di zaman kanak-kanak disekat terus oleh para ibubapa. Pergaulan kanak-kanak dengan rakan-rakan sering dilihat pada perspektif yang negatif.
No comments:
Post a Comment